Sunday, March 22, 2009

Alat-alat Muzik Tradisional

Tidak lengkap tarian tanpa muzik. Muzik dan tarian saling memerlukan untuk saling melengkapi bagai laut dan pantai. Di sini kami ingin memperkenalkan beberapa alat muzik yang sering di gunakan oleh masyarakat Melayu. Terdapat 4 kelompok alat muzik iaitu Kordofon, Idiofon, Membranofon, dan Erofon:

Kordofon

Jenis-jenis alat yang mana sifat serta sumber bunyinya terhasil daripada bahan "tali" yang diregangkan.

Contohnya : gambus,sape,rebab, sundatang

Gambus

Sejenis alat muzik tradisi dari Timur Tengah. Ia mempunyai 12 tali tangsi. Badannya membujur bulat seakan-akan labu air dengan belakangnya yang melengkung. Lehernya ialah persambungan dari badannya. Ia dipetik sama seperti bermain gitar. Alat muzik ini digunakan dalam permainan Ghazal atau tarian Zapin dan untuk mengiringi nyanyian serta tarian Andai-Andai oleh orang Brunei di Sabah.


Sejenis alat muzik tradisi dari Timur Tengah.

Sape

Sape mempunyai empat utas tali. Pada masa dahulu, tali-tali sape diperbuat daripada rotan yang diraut halus. Kini, dawai-dawai halus pula digunakan sebagai tali sape kerana lebih mudah diperolehi dan bunyinya lebih mantap. Diperbuat daripada kayu. Badan sape berbentuk bujur dan panjang. Bahagian muka sape rata sahaja manakala bahagian belakang sape pula ditebuk sebagai kotak bunyi. Sape dimainkan dengan cara meribanya seperti gambus. Tali sape dipetik menggunakan jari. Kemudian jari tangan yang satu lagi menekan tali-tali pada batangnya. Melodi hanya dimainkan oleh satu tali sahaja. Tali yang tiga hanya menghasilkan dengung. Sape dimainkan untuk hiburan, mengiringi upacara berubat dan mengiringi persembahan tarian tradisional seperti ngajat.

Sape mempunyai empat utas tali

Rebab

Merupakan alat muzik yang tertua di dalam sejarah permainan muzik tradisi Melayu. Ia dikenali juga dengan nama anak umbang di kalangan bomoh-bomoh Melayu. Pada awalnya digunakan di dalam masyarakat Melayu sebagai alat perubatan tradisi yang disebut main peteri. Gesekan rebab oleh pawang menjadi sebagai penawar kepada pesakit. Perubatan cara ini disokong oleh kekuatan jampi oleh pawang. Bentuk rebab dapat dibahagikan secara kasarnya kepada 3 bahagian iaitu pangkal, leher dan kepala. Ukuran tingginya antara 7.55sm hingga 8.5sm. terdapat nama-nama khususnya yang diberikan pada bahagian-bahagiannya. Digunakan juga sebagai alat untuk permainan muzik tradisi di samping menjadi alat penting di dalam permainan Mak Yong hinggakan dalam permainan tersebut terdapat satu babak dipermulaannya yang dikenali sebagai menghadap rebab.


Merupakan alat muzik yang tertua di dalam sejarah permainan muzik tradisi Melayu.

Idiofon

Jenis-jenis alat yang mana bunyinya dapat dihasilkan secara spontan melalui kaedah-kaedah seperti laga, goyang dan ketukan mengikut keadaan dan bentuk semulajadi sesebuah alat itu.

Contohnya: gong, canang, kesi, bonang caklempong, mong dan kenung, angklung, seron, demung.

Gong

Gong ini diperbuat daripada besi. Ada juga gong yang diperbuat daripada gangsa yang bercampur timah. Jenis gong yang biasa digunakan dipanggil tawak-tawak. Gong dimainkan dalam pelbagai persembahan muzik tradisi misalnya dalam persembahan Mak Yong. Mukanya satu sahaja dan di tengah mukanya dilekukkan daripada dalam serta membonjol keluar. Gong dimainkan secara dipalu dengan kayu berbalut getah dihujungnya dan bunyinya berdengung.


Gong ini diperbuat daripada besi.

Canang

Canang diperbuat daripada perenggu atau loyang. Saiz canang kecil. Bahagian tepi canang melengkung ke dalam. Pada bahagian muka canang ada tombol kecil. Canang disusun di atas para khas dan dipalu. Pemalu canang diperbuat daripada kayu. Bahagian yang dipalu ialah bahagian tombol canang. Biasanya canang dimainkan secara berpasangan. Canang dimainkan untuk mengiringi persembahan wayang kulit dan wayang Melayu.


Canang diperbuat daripada perenggu atau Loyang

Kesi

Sejenis alat idiofon dari keluarga simbal yang dibentuk daripada kepingan tembaga. Bahagian tengah permukaannya kelihatan melengkung ke dalam. Berperanan sebagai alat pelengkap irama dalam ensemble paluan tradisional. Ianya disertakan dalam dua pasangan iaitu salah satu daripadanya dipaku pada tapak kayu secara kekal dan yang satu lagi dipasang dengan tali. Untuk menghasilkan bunyi, alat-alat tersebut dilagakan dengan menggunakan kaedah hentakan. Digunakan dalam ensemble paluan tradisional yang pada mulanya berkembang di negeri Kelantan seperti Wayang Kulit, Mak Yong dan Menora serta ensemble paluan untuk tarian tradisional seperti Asyik dan Wau Bulan.


Sejenis alat idiofon dari keluarga "simbal" yang dibentuk daripada kepingan tembaga.

Bonang Caklempong

Caklempong diperbuat daripada tembaga atau perunggu. Saiz caklempong kecil. Bentuk caklempong seperti periuk iaitu melengkung ke bawah. Muka caklempong licin. Pada bahagian tengah muka caklempong ada satu tombol kecil. Caklempong dimainkan dengan cara menyusunnya sebaris di atas para khas. Kemudian pemain duduk menghadap caklempong dan memalunya menggunakan sepasang kayu pemalu. Caklempong dimainkan untuk mengiringi pencak silat, tarian piring, tarian lilin, tarian inai, wayang kulit, menora, main puteri, mengarak pengantin, persembahan randai dan lagu-lagu tempatan. Kebiasaanya dimainkan oleh masyarakat Melayu di Perak dan Kelantan serta masyarakat Minangkabau di Negeri Sembilan.


Caklempong diperbuat daripada tembaga atau perunggu.

Mong dan Kenung

Mong diperbuat daripada perunggu. Dimainkan dalam satu set yang diatur atas regangan tali-tali pada para khas. Pemalu berbalut digunakan untuk memalu tombol mong. Mong dimainkan oleh seorang pemain sahaja. Kebiasaannya mong dimainkan untuk mengiringi persembahan menora, wayang gedak, wayang Jawa dan gamelan. Masyarakat Melayu di Semenanjung terutamanya di Kelantan, Pahang, Johor dan Terengganu sering memainkannya dalam persembahan tertentu. Kenung diperbuat daripada perunggu. Bentuk kenung seperti periuk. Saiz kenung besar. Sisi muka kenung bertebing (meninggi). Di tengah-tengah muka kenung pula ada tombol. Diletakkan di atas rentangan tali pada para khas. Kemudian tombol kenung dipalu dengan pemalu yang berbalut. Kenung dimainkan oleh masyarakat Melayu di Pahang, Terengganu dan Johor bagi mengiringi persembahan gamelan.


Mong dan Kenung diperbuat daripada perunggu.

Membranofon

Jenis-jenis alat yang mana sifat serta sumber bunyinya terhasil daripada bahan "kulit" yang diregangkan.

Contohnya: gedombak, geduk, rebana, gendang, jidur.

Gedombak

Adalah sejenis gendang berbentuk jambangan bunga. Bahagian mukanya besar dan dibalut dengan kulit kambing. Bahagian kecilnya dibiarkan berlubang. Alat muzik ini biasanya digunakan dalam kumpulan wayang kulit dan tarian tradisi.


Adalah sejenis gendang berbentuk jambangan bunga.

Geduk

Adalah sejenis gendang yang mempunyai dua muka. Muka geduk diperbuat daripada belulang lembu atau kerbau. Pada mulanya belulang diletakan pada badan geduk menggunakan perekat. Kemudian belulang itu dipancang dengan baji kayu atau besi. Badan geduk disebut temalang yang diperbuat daripada kayu keras seperti kayu nangka dan bentuknya agak cembung sedikit. Bahagian dalam temalang disebut lompang. Dua bilah buluh dipasang pada satu sisi temalang. Bilah-bilah tersebut lebih panjang daripada temalang dan berfungsi sebagai kaki. Dengan adanya kaki tersebut, geduk berdiri dengan mukanya sedikit serong bagi memudahkan pemain memalu muka geduk. Geduk dimainkan secara berpasangan iaitu pasangan geduk ibu dengan geduk anak bagi mengiringi persembahan wayang kulit dan menora.


Adalah sejenis gendang yang mempunyai dua muka.

Rebana

Rebana adalah sejenis gendang satu muka yang berbentuk seperti pasu. Ianya sering digunakan dalam ensemble muzik sinkretik yang berkembang di kalangan masyarakat Melayu bandaran seperti Dondang Sayang, Joget, Inang, Masri, Zapin, Cinta Sayang dan Ayam Didik. Peranannya dalam ensemble adalah sebagai penyokong irama dengan pola-pola paluan yang dapat dikategorikan sebagai irama asas (basic) penambahan (additire) dan menyilang iaitu cross rythmn. Bahan ekustik seperti kayu, kulit kambing, rotan dan buluh digunakan untuk membuatnya. Baluh ataupun temalang bagi alat rebana lazimnya diperbuat daripada kayu nangka yang diakui dapat mempengaruhi peningkatan mutu suara sesebuah alat itu.


Rebana adalah sejenis gendang satu muka yang berbentuk seperti pasu.

Gendang Silat

Sepasang gendang bulat besar, anak dan ibu. Temalang atau badannya diperbuat daripada kayu merbau dan kedua-duanya ditutup dengan kulit harimau. Kedua-dua gendang dipalu dengan tangan atau pemukul yang diperbuat daripada kayu merbau. Lilitan rotan halus diselitkan di antara tebing dan belulang untuk menetapkan ketegangannya.


Sepasang gendang bulat besar, anak dan ibu.

Erofon

Jenis-jenis alat yang mana sifat serta sumber-sumber bunyinya terhasil melalui peniupan ataupun hembusan angin.

Contoh : serunai, seruling, selumpit.

Serunai

Serunai adalah sejenis alat muzik tradisi yang perlu ditiup apabila hendak membunyikannya. Alat tiupan ini mempunyai pipit berlapis-lapis. Pelidaknya sebanyak empat lapis diperbuat daripada daun lontar kering. Pemegang pipit ialah tiub-logam yang dipasang pada kemuncak badan serunai. Badan serunai diperbuat daripada kayu keras dalam bentuk kun dengan bahagian bawahnya berbentuk loceng. Badannya boleh diceraikan kepada tiga bahagian. Badan serunai mempunyai tujuh lubang memetik di belakang. Serunai digunakan untuk mengiringi wayang kulit, menora, gendang silat dan gendang keling.

Serunai adalah sejenis alat muzik tradisi yang perlu ditiup apabila hendak membunyikannya.


Disediakan oleh:

NOORSHAFIZA MUHAIDI (FIZA)

CA08038

C17

1 comment:

  1. ada x videoclip tentang asas tarian tersebut? kalau ada bole kongsi? tq

    ReplyDelete