Friday, March 27, 2009

PENGENALAN


Assalamualaikum WBT...Selamat datang kami ucapkan kerana sudi melayari blog kami yang serba indah dan penuh infomasi ini. Kami memanjatkan rasa syukur kerana dapat membina blog ini dengan jayanya. Terima kasih juga kepada semua pihak yang telah banyak membantu kami. Tujuan blog ini dibangunkan adalah untuk memperkenalkan masyarakat masa kini dengan tarian-tarian masyarakat Melayu di Malaysia sesuai dengan tajuk blog ini iaitu " WARISAN TARIAN MELAYU". Terdapat banyak tarian yang menarik, unik, menghiburkan malah menjadi misteri dengan membawa maksud yang tersirat dan tersurat yang masih belum dikenali oleh masyarakat masa kini terutama generasi muda. Agar warisan ini tidak luput ditelan zaman, kami berusaha untuk mengumpul sebanyak mungkin tarian untuk diperkenalkan melalui blog ini. Harap blog ini dapat mendatangkan manfaat pada semua...


Kita biasa dengar perkataan "tarian". Tetapi adakah kita benar-benar tahu apa itu tarian?

Tarian berasal daripada kata akarnya iaitu tari. Tari adalah sejenis gerakan. Seni tari adalah gerak indah yang mengandungi dua unsur penting: gerak dan irama. Gerak merupakan gejala primer dan juga bentuk spontan daripada kehendak yang terdapat dalam jiwa sementara irama adalah bunyi teratur yang mengiringi gerak tersebut. Gerak tarian biasanya diinspirasikandaripada pengalaman hidup seharian. Oleh itu, gerak ini memiliki muatan emosi yang tinggi. Selain gerak dan bunyi, sesebuah tarian kadang-kadang diiringi pula dengan nyanyian yang sesuai dengan makna dan tujuan tarian itu.Tarian yang berkembang dalam kebudayaan Melayu mengandungi aspek gerak, irama dan nyanyian ini biasanya dipersembahkan dalam upacara adat, upacara ritual, menyambut tetamu penting atau sekadar mempereratkan pergaulan dan meramaikan peristiwa penting seperti majlis perkahwinan.


Berikut adalah kesemua 15 tarian yang ingin kami perkenalkan:

  • Tarian Mak Inang
  • Tarian Joget
  • Tarian Serampang Dua Belas
  • Tarian Lilin
  • Tarian Piring
  • Tarian Inai
  • Tarian Asyik
  • Tarian Canggung
  • Tarian Kuda Kepang
  • Tarian Dabus
  • Tarian Ulik Mayang
  • Tarian Zapin
  • Mak Yong
  • Tarian Asli
  • Tarian Gamelan
Disediakan oleh:
NOORSHAFIZA MUHAIDI (FIZA)
CA08038
C17

 

Tarian Gamelan


Tarian Gamelan merupakan salah satu tarian Melayu klassik. Tarian klasik ini mula di direkodkan dipersembahkan di Istana di empayar Riau dan Lingga dalam kurun ke-17. Ia mula di persembahkan buat pertama kali di khalayak ramai di Pekan, Pahang dalam tahun 1811 dalam upacara persandingan Tengku Hussain, putera kepada Sultan Abdul Rahman yang memerintah Lingga, dengan Wan Esah yakni adik perempuan kepada Bendahara Ali dari Pahang.Ia mula di perkenalkan di Terengganu selepas Tengku Mariam iaitu seorang puteri di Pahang, mengahwini Tengku Sulaiman yakni putera kepada Tengku Zainal Abidin dari Terengganu.

Menurut Tengku Mariam, pada asalnya repositori tarian ini terdiri daripada 77 jenis Gamelan. Tetapi pada hari ini hanya tinggal 33 jenis sahaja lagi kesan daripada ketiadaan tenaga pengajar jenis tarian itu lagi. Antara 33 jenis tarian yang masih tinggal itu adalah seperti Timang Burung, Ayak-ayak, Lambang Sari, Ketam Renjung, Geliung, Lantai Lima, Kending Gajah, Togok Rompin, Kunang-kunang Mabuk, Galuk Merajuk, Silatin, Lolo dan Monab.

Tarian ini yang mana di persembahkan secara eksklusif oleh penari wanita boleh di pentaskan secara dalaman ataupun persembahan terbuka. Unsur Jawa boleh di lihat dari segi seni tarian tersebut. Secara estetikanya, tarian ini adalah sangat cantik dan merupakan bentuk tarian yang paling kaya dari segi jenisnya dalam kebanyakan kostum tarian Melayu.


http://ms.wikipedia.org/wiki/Tarian_Gamelan

Disediakan oleh:

SITI AISYAH ABD JALIL

CA08079

C17

Thursday, March 26, 2009

Tarian Inai

TARIAN INAI



Tarian Inai atau Terinai merupakan sejenis tarian tradisional. Tarian ini adalah tarian istana yang ditarikan semasa majlis berkhatan anak pembesar-pembesar istana. Ia dipersembahkan kepada kanak-kanak ini semasa mereka hendak dikhatankan dan duduk di atas pelamin.



Tarian Inai ini popular di Perlis, utara Kedah dan Kelantan. tarian ini jarang dipersembahkan berbanding tarian istana yang lain. Ini disebabkan ia dikhususkan bagi peristiwa tertentu seperti perkahwinan, berkhatan dan pertabalan diraja.

Tarian ini mempunyai adat istiadat dan memiliki pergerakan jari dan tangan yang rumit dalam pergerakan tari bulatan yang berterusan. Ia mempunyai gabungan pergerakan tarian yang terdapat dalam mak Yong, Silat dan kedudukan akrobatik yang dikenali meliuk dalam mana penari membongkokkan badan kebelakang sementara berdiri dengan muka memandang ke lantai. Pada masa yang lalu, tarian ini dipersembahkan oleh dua orang lelaki.



SITI MAIMUNAH BINTI NIKMAT LEONG
CA08060
C17

Wednesday, March 25, 2009

Tarian Mak inang

Tarian Inang merupakan versi moden bagi tarian tradisional rakyat iaitu Tarian Mak Inang.Tarian Mak Inang atau juga dikenali sebagai Tarian Si Kembang Cina merupakan sejenis tarian Melayu traditional.Pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, tarian mak inang sangat popular ditarikan pada hari-hari kerja kahwin tetapi kini ditarikan majlis-majlis sosial dan juga dipersembahkan di majlis-majlis sosial. Tarian ini ditarikan mengikut laju tempo rebana, biola dan gendang. Semasa menari, para penari melambaikan sapu tangan yang berwarna-warni.




















video

Disediakan oleh:
SITI NURSYAMIMI MOHD NAIM
CA08093
C17

Sunday, March 22, 2009

Alat-alat Muzik Tradisional

Tidak lengkap tarian tanpa muzik. Muzik dan tarian saling memerlukan untuk saling melengkapi bagai laut dan pantai. Di sini kami ingin memperkenalkan beberapa alat muzik yang sering di gunakan oleh masyarakat Melayu. Terdapat 4 kelompok alat muzik iaitu Kordofon, Idiofon, Membranofon, dan Erofon:

Kordofon

Jenis-jenis alat yang mana sifat serta sumber bunyinya terhasil daripada bahan "tali" yang diregangkan.

Contohnya : gambus,sape,rebab, sundatang

Gambus

Sejenis alat muzik tradisi dari Timur Tengah. Ia mempunyai 12 tali tangsi. Badannya membujur bulat seakan-akan labu air dengan belakangnya yang melengkung. Lehernya ialah persambungan dari badannya. Ia dipetik sama seperti bermain gitar. Alat muzik ini digunakan dalam permainan Ghazal atau tarian Zapin dan untuk mengiringi nyanyian serta tarian Andai-Andai oleh orang Brunei di Sabah.


Sejenis alat muzik tradisi dari Timur Tengah.

Sape

Sape mempunyai empat utas tali. Pada masa dahulu, tali-tali sape diperbuat daripada rotan yang diraut halus. Kini, dawai-dawai halus pula digunakan sebagai tali sape kerana lebih mudah diperolehi dan bunyinya lebih mantap. Diperbuat daripada kayu. Badan sape berbentuk bujur dan panjang. Bahagian muka sape rata sahaja manakala bahagian belakang sape pula ditebuk sebagai kotak bunyi. Sape dimainkan dengan cara meribanya seperti gambus. Tali sape dipetik menggunakan jari. Kemudian jari tangan yang satu lagi menekan tali-tali pada batangnya. Melodi hanya dimainkan oleh satu tali sahaja. Tali yang tiga hanya menghasilkan dengung. Sape dimainkan untuk hiburan, mengiringi upacara berubat dan mengiringi persembahan tarian tradisional seperti ngajat.

Sape mempunyai empat utas tali

Rebab

Merupakan alat muzik yang tertua di dalam sejarah permainan muzik tradisi Melayu. Ia dikenali juga dengan nama anak umbang di kalangan bomoh-bomoh Melayu. Pada awalnya digunakan di dalam masyarakat Melayu sebagai alat perubatan tradisi yang disebut main peteri. Gesekan rebab oleh pawang menjadi sebagai penawar kepada pesakit. Perubatan cara ini disokong oleh kekuatan jampi oleh pawang. Bentuk rebab dapat dibahagikan secara kasarnya kepada 3 bahagian iaitu pangkal, leher dan kepala. Ukuran tingginya antara 7.55sm hingga 8.5sm. terdapat nama-nama khususnya yang diberikan pada bahagian-bahagiannya. Digunakan juga sebagai alat untuk permainan muzik tradisi di samping menjadi alat penting di dalam permainan Mak Yong hinggakan dalam permainan tersebut terdapat satu babak dipermulaannya yang dikenali sebagai menghadap rebab.


Merupakan alat muzik yang tertua di dalam sejarah permainan muzik tradisi Melayu.

Idiofon

Jenis-jenis alat yang mana bunyinya dapat dihasilkan secara spontan melalui kaedah-kaedah seperti laga, goyang dan ketukan mengikut keadaan dan bentuk semulajadi sesebuah alat itu.

Contohnya: gong, canang, kesi, bonang caklempong, mong dan kenung, angklung, seron, demung.

Gong

Gong ini diperbuat daripada besi. Ada juga gong yang diperbuat daripada gangsa yang bercampur timah. Jenis gong yang biasa digunakan dipanggil tawak-tawak. Gong dimainkan dalam pelbagai persembahan muzik tradisi misalnya dalam persembahan Mak Yong. Mukanya satu sahaja dan di tengah mukanya dilekukkan daripada dalam serta membonjol keluar. Gong dimainkan secara dipalu dengan kayu berbalut getah dihujungnya dan bunyinya berdengung.


Gong ini diperbuat daripada besi.

Canang

Canang diperbuat daripada perenggu atau loyang. Saiz canang kecil. Bahagian tepi canang melengkung ke dalam. Pada bahagian muka canang ada tombol kecil. Canang disusun di atas para khas dan dipalu. Pemalu canang diperbuat daripada kayu. Bahagian yang dipalu ialah bahagian tombol canang. Biasanya canang dimainkan secara berpasangan. Canang dimainkan untuk mengiringi persembahan wayang kulit dan wayang Melayu.


Canang diperbuat daripada perenggu atau Loyang

Kesi

Sejenis alat idiofon dari keluarga simbal yang dibentuk daripada kepingan tembaga. Bahagian tengah permukaannya kelihatan melengkung ke dalam. Berperanan sebagai alat pelengkap irama dalam ensemble paluan tradisional. Ianya disertakan dalam dua pasangan iaitu salah satu daripadanya dipaku pada tapak kayu secara kekal dan yang satu lagi dipasang dengan tali. Untuk menghasilkan bunyi, alat-alat tersebut dilagakan dengan menggunakan kaedah hentakan. Digunakan dalam ensemble paluan tradisional yang pada mulanya berkembang di negeri Kelantan seperti Wayang Kulit, Mak Yong dan Menora serta ensemble paluan untuk tarian tradisional seperti Asyik dan Wau Bulan.


Sejenis alat idiofon dari keluarga "simbal" yang dibentuk daripada kepingan tembaga.

Bonang Caklempong

Caklempong diperbuat daripada tembaga atau perunggu. Saiz caklempong kecil. Bentuk caklempong seperti periuk iaitu melengkung ke bawah. Muka caklempong licin. Pada bahagian tengah muka caklempong ada satu tombol kecil. Caklempong dimainkan dengan cara menyusunnya sebaris di atas para khas. Kemudian pemain duduk menghadap caklempong dan memalunya menggunakan sepasang kayu pemalu. Caklempong dimainkan untuk mengiringi pencak silat, tarian piring, tarian lilin, tarian inai, wayang kulit, menora, main puteri, mengarak pengantin, persembahan randai dan lagu-lagu tempatan. Kebiasaanya dimainkan oleh masyarakat Melayu di Perak dan Kelantan serta masyarakat Minangkabau di Negeri Sembilan.


Caklempong diperbuat daripada tembaga atau perunggu.

Mong dan Kenung

Mong diperbuat daripada perunggu. Dimainkan dalam satu set yang diatur atas regangan tali-tali pada para khas. Pemalu berbalut digunakan untuk memalu tombol mong. Mong dimainkan oleh seorang pemain sahaja. Kebiasaannya mong dimainkan untuk mengiringi persembahan menora, wayang gedak, wayang Jawa dan gamelan. Masyarakat Melayu di Semenanjung terutamanya di Kelantan, Pahang, Johor dan Terengganu sering memainkannya dalam persembahan tertentu. Kenung diperbuat daripada perunggu. Bentuk kenung seperti periuk. Saiz kenung besar. Sisi muka kenung bertebing (meninggi). Di tengah-tengah muka kenung pula ada tombol. Diletakkan di atas rentangan tali pada para khas. Kemudian tombol kenung dipalu dengan pemalu yang berbalut. Kenung dimainkan oleh masyarakat Melayu di Pahang, Terengganu dan Johor bagi mengiringi persembahan gamelan.


Mong dan Kenung diperbuat daripada perunggu.

Membranofon

Jenis-jenis alat yang mana sifat serta sumber bunyinya terhasil daripada bahan "kulit" yang diregangkan.

Contohnya: gedombak, geduk, rebana, gendang, jidur.

Gedombak

Adalah sejenis gendang berbentuk jambangan bunga. Bahagian mukanya besar dan dibalut dengan kulit kambing. Bahagian kecilnya dibiarkan berlubang. Alat muzik ini biasanya digunakan dalam kumpulan wayang kulit dan tarian tradisi.


Adalah sejenis gendang berbentuk jambangan bunga.

Geduk

Adalah sejenis gendang yang mempunyai dua muka. Muka geduk diperbuat daripada belulang lembu atau kerbau. Pada mulanya belulang diletakan pada badan geduk menggunakan perekat. Kemudian belulang itu dipancang dengan baji kayu atau besi. Badan geduk disebut temalang yang diperbuat daripada kayu keras seperti kayu nangka dan bentuknya agak cembung sedikit. Bahagian dalam temalang disebut lompang. Dua bilah buluh dipasang pada satu sisi temalang. Bilah-bilah tersebut lebih panjang daripada temalang dan berfungsi sebagai kaki. Dengan adanya kaki tersebut, geduk berdiri dengan mukanya sedikit serong bagi memudahkan pemain memalu muka geduk. Geduk dimainkan secara berpasangan iaitu pasangan geduk ibu dengan geduk anak bagi mengiringi persembahan wayang kulit dan menora.


Adalah sejenis gendang yang mempunyai dua muka.

Rebana

Rebana adalah sejenis gendang satu muka yang berbentuk seperti pasu. Ianya sering digunakan dalam ensemble muzik sinkretik yang berkembang di kalangan masyarakat Melayu bandaran seperti Dondang Sayang, Joget, Inang, Masri, Zapin, Cinta Sayang dan Ayam Didik. Peranannya dalam ensemble adalah sebagai penyokong irama dengan pola-pola paluan yang dapat dikategorikan sebagai irama asas (basic) penambahan (additire) dan menyilang iaitu cross rythmn. Bahan ekustik seperti kayu, kulit kambing, rotan dan buluh digunakan untuk membuatnya. Baluh ataupun temalang bagi alat rebana lazimnya diperbuat daripada kayu nangka yang diakui dapat mempengaruhi peningkatan mutu suara sesebuah alat itu.


Rebana adalah sejenis gendang satu muka yang berbentuk seperti pasu.

Gendang Silat

Sepasang gendang bulat besar, anak dan ibu. Temalang atau badannya diperbuat daripada kayu merbau dan kedua-duanya ditutup dengan kulit harimau. Kedua-dua gendang dipalu dengan tangan atau pemukul yang diperbuat daripada kayu merbau. Lilitan rotan halus diselitkan di antara tebing dan belulang untuk menetapkan ketegangannya.


Sepasang gendang bulat besar, anak dan ibu.

Erofon

Jenis-jenis alat yang mana sifat serta sumber-sumber bunyinya terhasil melalui peniupan ataupun hembusan angin.

Contoh : serunai, seruling, selumpit.

Serunai

Serunai adalah sejenis alat muzik tradisi yang perlu ditiup apabila hendak membunyikannya. Alat tiupan ini mempunyai pipit berlapis-lapis. Pelidaknya sebanyak empat lapis diperbuat daripada daun lontar kering. Pemegang pipit ialah tiub-logam yang dipasang pada kemuncak badan serunai. Badan serunai diperbuat daripada kayu keras dalam bentuk kun dengan bahagian bawahnya berbentuk loceng. Badannya boleh diceraikan kepada tiga bahagian. Badan serunai mempunyai tujuh lubang memetik di belakang. Serunai digunakan untuk mengiringi wayang kulit, menora, gendang silat dan gendang keling.

Serunai adalah sejenis alat muzik tradisi yang perlu ditiup apabila hendak membunyikannya.


Disediakan oleh:

NOORSHAFIZA MUHAIDI (FIZA)

CA08038

C17

Tarian Mak Yong

Tarian Mak Yong

Tarian Mak Yong merupakan sejenis tarian Melayu traditional. Drama tari Mak Yong ini merupakan sebagai suatu bentuk drama-tari Melayu yang menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja. Drama-tari ini dipertontonkan terutamanya di Terengganu, Patani, Kelantan,Kedah, serta di Kepulauan Riau Indonesia.


Drama tari Mak Yong ini merupakan sebagai suatu bentuk drama-tari Melayu yang menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja. Drama-tari ini dipertontonkan terutamanya di Terengganu, Patani, Kelantan, Kedah, serta di Kepulauan Riau - Indonesia.

Mak Yong dipersembahkan sebagai hiburan dan juga sebagai cara perubatan. Mak Yong dipercayai wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Ia dipentaskan sebagai pementasan Diraja di bawah naungan Kesultan Kelantan sehingga 1920-an. Dengan itu, tradisi ini dikekalkan dalam bentuk asal tanpa meninggalkan peningkatan yang terdapat di istana seperti pakaian yang berhias cantik.
Dalam satu pasukan Makyong adalah mengandungi kira-kira 20 orang lelaki dan perempuan termasuk ahli seni bunyian dan serombnongan penari perempuan yang digelar "Jong Dondang". segala jalan cerita dilakonkan itu bukanlah dengan bertulis tetapi dijalan dengan berhafal.
Cerita yang dilakukan oleh Makyong berasaskan cerita dongeng da khayalan, cerita jin dan mambang, dan sebagainya. Jarang sekali mengupas cerita kehidupan masyarakat di sekelilingnya.

Alat muziknya dipengaruhi oleh alat muzik lama, seperti rebab iaitu sejenis perkakas alat muzik yang memakai tiga utas tali yang digesek seperti biola, tetapi bezanya ia mempunyai ukiran dan dicat dengan warna-warni yang merupakan percampuran kesenian Siam dengan Melayu. Gendang, geduk, gedombak, celempong, gong dan sepasang buluh yang panjangnya sekira-kira 18 inchi untuk tempoh irama dalam lahu Makyong ini ikut sama dalam tarian itu.

video


Disediakan oleh:

SITI NURSYAMIMI MOHD NAIM

CA08093

C17





Tarian Canggung


Tarian Canggung merupakan sejenis tarian rakyat Melayu traditional. Perkataan tanggung berasal dari bahasa Thai yang bererti menari. Tarian Canggung merupakan tarian identiti negeri Perlis yang berasal dari salah sebuah tarian Makyung Laut. Tarian Canggung menjadi popular di negeri Kedah, Perlis dan Pulau Pinang. Tarian ini dicipta oleh seorang ahli tarian dari Kangar selepas Perang Dunia II.

Mereka akan menyanyi sambil menari, nyanyiannya adalah secara berbalas pantun. Pantun-pantunnya ada menyindir, memikat, mengusik, berjenaka dan sebagainya. Penari-penarinya menari secara berpasangan. Tarian ini diiringi degan muzik yang menggunakan gong, dua biji gendang dan biola. Tarian ini dipersembahkan ketika musim menuai, di majlis perkahwinan dan keramaian.



Disediakan oleh:

NUR AIMI AHMAD

CA08092

C17

Tarian Asli

Gerak Tari
Tarian Asli merupakan kumpulan tarian yang dicipta berasaskan lagu-lagu asli Melayu. Wujud daripada rentak dan irama lagu Dondang Sayang tetapi Tarian Asli tidak diiringi dengan adegan berbalas pantun seperti dalam Dondang Sayang. Perkembangan seterusnya ialah kemunculan tarian-tarian asli yang dicipta daripada lagu-lagu seperti lagu Makan Sireh, Gunung Banang, Asli Sapu Tangan, Asli Selendang, Bentan Telani, Asli Abadi dan lain-lain lagi. Tarian Asli boleh didapati di seluruh Malaysia terutama Semenanjung Malaysia.


Lagu Asli masih lagi popular dan menjadi siulan muda-mudi di kawasan kebudayaan Melayu di Semenanjung Malayu, Sumetera, Sinagapura, Kepulauan Riau dan Borneo. Di Sumatera, Tarian Asli dikenali sebagai senandung dan kelahirannya adalah dari puisi yang mengusik jiwa berlawanan dengan emosi yang mendalam terhadap cinta dan kesedihan. Contoh-contoh lagu asli termasuklah Sembawa Balik, Pasir Roboh, Timang Banjar dan Sri Siantan


Alatan Muzik / Instrumen

Sebelum instrument Barat diperkenalkan, instrument muzikal asli seperti rebab, gong, rebana atau gendang bebano digunakan. Akibat pengaruh luar terutamanya dari Barat pada pertengahan kurun ke-16, penggunaan instrument seperti violin dan akordian digunakan secara meluas. Seperti perubahan masa yang kian berubah dan kemajuan teknologi, banyak instrument muzaik asli kian dilupakan dan digantikan dgn alat muzik elektronik dan moden.


Video Tarian Asli

http://www1.moe.edu.sg/nadi/arkib/2006/mar/budaya/corakkehidupan/corakkehidupan.htm

Disediakan oleh :

NUR AIMI BINTI AHMAD

CA08092

C17

Saturday, March 21, 2009

Tarian Joget

Pengenalan

Tarian Joget sangat digemari oleh masyarakat berbilang kaum di Malaysia kerana ia mudah dipraktikkan dan dipelajari. Tarian ini biasa dipersempahkan ketika upacara Mandi Safar. Suatu ketika dahulu di Negeri Melaka, tarian Joget Lambak begitu terkenal. Malah Joget Lambak juga menjadi acara bagi memeriahkan majlis-majlis perkahwinan dan keramaian terutamanya di Negeri Melaka.

Tarian Joget dipercayai berasal daripada tarian Kaum Portugis iaitu Branyo. Ketika itu Joget diiringi lagu-lagu seperti Jingkling Nona tetapi sekarang banyak lagu-lagu dihasilkan seperti Joget Serampang Laut, Joget Rentak 106, Joget Johore Sport Club, Joget Pucuk Pisang dan lain-lain lagi. Joget juga dikenali sebagai ronggeng yang mengambil nama daripada perkataan “wrong gang” kerana ditarikan secara berpasangan lelaki dan wanita.

Cara Persembahan

Dalam tarian joget, gerak geri kaki lebih penting daripada gerakan tangan. Tempo tarian joget yang sederhana ialah langkah 2/4 dan langkah 3/8 untuk pergerakan yang pantas. Tarian Joget ditarikan dalam satu kumpulan pergaulan yang terdiri orang tua, muda, lelaki dan wanita secara berpasangan. Orang yang sedang menari dikatakan berjoget atau bertandak sementara pengiring tarian dikatakan pencak joget.

Dalam pesta-pesta keramaian, penari lelaki berjoget akan mengembing atau mempelawa (menjemput) penari wanita agar berjoget dengannya tetapi dalam persembahan joget di atas pentas terdapat 3 atau 4 pasangan penari joget dalam satu-satu persembahan.


Pakaian Joget

Pakaian penari joget lelaki ialah sepasang baju Melayu lengkap dengan songkok dan samping. Sementara pakaian wanita ialah kebaya labuh serta sanggul atau bunga di atas kepalanya. Warna-warna pakaian lelaki dan wanita biasanya seragam untuk menimbulkan keserasian dan kesenian tarian joget.




http://www.geocities.com/myril88/tarianjoget.html

Disediakan oleh:

NOORSHAFIZA MUHAIDI (FIZA)

CA08038

C17

Sunday, March 15, 2009

Tarian Serampang Dua Belas


TARIAN SERAMPANG DUA BELAS

Tarian Serampang Dua Belas merupakan salah satu dari sekian banyak tarian yang berkembang dibawah Kesultanan Serdang Bedagai. Tari ini merupakan jenis tari tradisional yang dimainkan sebagai tari pergaulan yang mengandungi pesanan tentang perjalanan kisah anak muda dalam mencari jodoh, mulai dari perkenalan sampai memasuki tahap pernikahan. Inilah salah satu cara masyarakat melayu Deli dalam mengajarkan tata cara pencarian jodoh kepada generasi muda. Tari Serampang Dua Belas juga menjadi kegemaran bagi generasi muda untuk mempelajari process yang akan dilaluinya nanti jika ingin mendirikan rumah tangga.

http://www.wisatamelayu.com/id/object.php?a=RERlL3c%3D=&nav=cat
Disediakan oleh:
MASTURA ZAKARIA
CA08032
C17

Tarian Lilin



Tarian Lilin pada asasnya merupakan sebuah tarian yang dipersembahkan oleh sekumpulan penari dengan diiringi sekumpulan pemuzik. Para penari ini akan membawa lilin yang dinyalakan pada piring yang dipegang pada setiap belah tangan mereka. Penari ini akan menarikan tarian secara berkumpulan dengan memusingkan piring yang mempunyai lilin yang menyala secara berhati-hati agar piring tersebut sentiasa mendatar, dan lilin tidak terpada



ASAL USUL
Asal usul Tarian Lilin dipercayai berasal dari Sumatera. Kononnya seorang gadis telah ditinggalkan oleh tunang yang pergi berdagang mencari harta. Semasa peninggalan tunangnya itu gadis telah kehilangan cincin pertunangan. Gadis tersebut mencari-cari cincin hingga larut malam dengan menggunakan lilin yang diletakkan pada piring. Gerakan badan yang meliuk, membongkok, mengadah (berdoa) melahirkan keindahan sehingga peristiwa ini telah melahirkan Tarian Lilin di kalangan gadis-gadis kampung itu.

Disediakan oleh: 
MASTURA ZAKARIA
 CA08032
C17

Saturday, March 14, 2009

Tarian Asyik


Tarian Asyik…

Tarian Asyik merupakan sejenis tarian Melayu klasik dari daerah - daerah di Kelantan yang ditarikan di istana raja - raja Kelantan dan Patani.

Asyik bererti kekasih, oleh itu tarian ini bersesuaian dengan gerak - geri bersifat lemah lembut dan penuh dengan ketertiban.

Tarian ini dimulai dengan sepuluh orang penari masuk ke dewan tarian terlebih dahulu , lalu duduk bersimpuh dengan tertibnya. Kemudian tampillah Puteri Asyik dan mereka pun mula menari.Tarian asyik ini ditarikan dalam upacara perkahwinan, iaitu malam berinai dan malam berinai besar di Istana.

Sejarah…

Dari segi sejarah (Hikayat Patani), Raja Kuning iaitu Raja Perempuan yang memerintah Patani dalam tahun 1644 ada menyimpan 12 orang penari istana yang menyanyi dan menari dipanggil Asyik.

Tarian Asyik mempunyai rentak perlahan dan gemalai, kerana ia ditarikan dihadapan raja dan permaisuri. Penari asalnya dalam pakaian berkemban, dengan tali pinggang dan mahkota kecil.

Bahagian utama tarian Asyik terdiri dari duduk bersimpuh dengan gerakan membayangkan haiwan dan persekitarannya; alunan ombak laut, burung melayang, ikan berenang, gajah berarak, dan sebagainya. Sesetengah pergerakan menyerupai tarian pementasan Mak Yong. Tarian Asyik biasanya ditarikan oleh inang remaja di istana.

Sejarah Lain…

Asal usul tarian ini adalah daripada seorang raja yang memelihara seekor burung kesayangannya di istana. Suatu hari beliau mendapati burungnya terlepas dari sangkar, lalu diikutnya burung itu ke hutan belantara dengan harapan untuk mendapatkannya balik.

Setelah bertahun-tahun burung kesayangannya masih tidak dapat diambil kembali, lalu raja tersebut kembali ke istana dengan penuh kekecewaan. Untuk menghilangkan rindunya terhadap burung tersebut, raja itu telah memerintahkan agar mencipta satu tarian yang meniru gerak-geri burung kesayangannya. Untuk tujuan tersebut, maka kumpulan Asyik yang terdiri daripada dayang-dayang istana terpaksa menari di hadapan raja bila baginda terkenangkan burungnya. Asyik bererti kekasih dan pengertian tersebut bersesuaian dengan gerak-geri tarian ini yang bersifat lemah lembut dan penuh dengan ketertiban. Persembahan tarian ini dimulakan dengan kemunculan 10 orang penari yang bersimpuh dengan tertibnya. Kemudian diikuti pula oleh Puteri Asyik dan semua menyembah lalu menari.

Alat Muzik…


Alat-alat muzik yang mengiringi Tarian Asyik terdiri daripada gedumbak asyik (sebanyak 11 jenis), gambang dan rebab. Tiga alat muzik utama ini mesti ada untuk mengiringi tarian ini.

Di samping gerak geri dan pakaian yang berseri, Tarian Asyik telah menarik minat masyarakat seluruhnya. Pakaiannya adalah serupa dengan Mak Yong iaitu berbaju pendek (warna merah), kain sarong dan satu kain panjang digantung pada bahu dan dilepaskan hingga ke pinggang. Pada bahagian pinggang penari memakai pending (sejenis tali pinggang) dan Puteri Asyik pula dimestikan memakai canggar di sanggulnya.

Pada zaman dahulu Tarian Asyik ditarikan pada hari perkahwinan, iaitu malam berinai seperti malam berinai besar di istana. Namun demikian, pada hari ini Tarian Asyik dipersembahkan juga pada hari-hari temasya negeri dan negara.

Disediakan oleh:

SITI AISYAH ABD JALIL

CA08079

C17

Tarian Dabus


Tarian Dabus

Dabus adalah kesenian yang mempertunjukkan kemampuan manusia luar biasa, seperti kebal terhadap senjata tajam, api, atau minum air keras dan lain-lain. Menurut catatan sejarah, dabus ini sebenarnya ada hubungan dengan tarikat Rifaiah yang dibawa oleh Nurrudin ar-Raniry ke Aceh pada tahun 1637 M. Dabus ini pada awalnya bukanlah sebuah tarian, melainkan salah satu jenis seni bela diri. Oleh kerana itu, tarian ini dikenal juga dengan tarian kepahlawanan, kerana memperlihatkan “keluarbiasaan” dalam pertunjukannya. Tarian ini hingga sekarang masih berkembang di daerah yang berkebudayaan Melayu.

Sejarah Tarian Dabus
Seperti halnya di dua tempat lain di Nusantara yakni; Aceh dan Banten, Ternate dan sekitarnya juga adalah tempat tumbuh dan berkembangnya seni Debus di wilayah timur Nusantara yang ada sejak ratusan tahun lalu. Debus di Ternate disebut Dabus atau Badabus. Ritual ini biasanya dipertunjukkan atau dilakukan dalam suatu hajatan yang berupa upacara ritual untuk menebus kaul seseorang yang pernah mengucapkan hajat akan mempertunjukkan Dabus, apabila ia selamat dari sesuatu musibah atau penyakit berat yang dideritanya.
Pertunjukan Dabus ini terdapat hampir di seluruh jazirah Maluku Utara, termasuk Ternate dan Tidore. Pelaksanaan ritual Dabus biasanya dipimpin oleh seorang guru agama ahli kebatinan, yang biasanya disebut “Joguru” yang dalam pelaksanaannya Dabus ia harus disapa; “Syekh”. Ia dibantu oleh para muridnya/santri yang berjumlah sekitar lima hingga sepuluh orang.

Alat khusus untuk pertunjukan Dabus
Terdiri dari dua buah batang besi bulat sebesar ibu jari yang hujungnya diasah runcing dan tajam dan di bagian ujung lainnya dibentuk dengan kayu bulat sebesar kepalan tangan dan dihiasi dengan untaian rantai besi kecil.

Anak Dabus

Tarian dabus tradisional yang mempunyai unsur-unsur ritual ini tidak dapat dipisahkan dengan jampi serapah. Bagi memperkuatkan keberkesanan jampi serapah ini beberapa peralatan dan bahan yang digunakan di dalam perubatan tradisional adalah diperlukan.

Bahan-bahan yang diperlukan adalah seperti berikut:-
  1. Kemiyan
  2. Bertih
  3. Beras Kunyit
  4. Tepung Tawar
  5. Air Penawar Bisa (Pemulih)
Kemiyan:
Kemiyan amat penting di dalam segala upacara atau majlis yang berkaitan dengan perubatan tradisional. Kemiyan ini dibakar di dalam sebuah bekas khas yang disebut perasap. Sebelum permainan dabus dimulakan, kemiyan diasapkan di sekeliling gelanggang.

Kemiyan ini jaga digunakan bagi mengasap peralatan-peralatan persembahan seperti anak dabus dan penari-penari sebelum mereka masuk ke gelanggang.

Bertih dan beras kunyit
Bahan-bahan ini digunakan untuk menabur dan menyiram seluruh gelanggang dan kawasansekelilingnya bagi menjauhkan dari segala gangguan yang tidak diigini.




Air panawar bisa


Air penawar bisa penting bagi membasuh luka-luka dan menawarkan bisa-bisa besi pada lengan peneri-penari akibat tikaman anak-anak dabus.Campuran bahan-bahan air penawar bisa terdiri daripada hirisan umbut pisang, daun setawar yang diramas, daun sireh serta hirisan batang serai. seperti bahan-bahan lain, air penawar
bisa ini juga dijampi.


Cara persembahan
Persembahan tarian dabus yang asli mengandungi unsur-unsur kebatinan. Sebelum sesuatu persembahan dimulakan upacara memulih gelanggang di lakukan. Seorang bomoh yang digelar khalifah di dalam permainan dabus memulakan upacara dengan menjampi sebutir kemiyan. Jampi serapahnya adalah seperti berikut:-

Bismillah-hirrahmanirrahim Assalamualaikum ya kemiyan,
dijadikan Allah dari getah kayu yang putih,
asal engkau he kemiyan, .
aku tahu asal engkau,
mula menjadi tongkat Rasulullah,
ku selang seraya...


Kemiyan ini dibakar dan diperasapkan kepada semua peralatan yang digunakan. Kemudian khalifah menyiram bertih, beras kunyit dan menepung tawar ke sekeliling gelanggang permainan. Ini bertujuan bagi menjauhkan daripada segala gangguan-gangguan makhluk halus serta perbuatan khianat kepada ahli-ahli yang menjayakan tarian itu.

Setelah itu persembahan dimulakan dengan seorang atau dua orang pemuzik melagukan nasyid dabus diiringi dengan paluan rebana dabus. Nasyid dabus ini disambung pula dengan lagu-lagu rentak tari dabus yang dilagukan olen semua Pemuzik serentak dengan paluan rebana dabus dan gong. Serentak dengan itu juga seorang penari masuk ke gelanggang untuk menari. Sebelum memulakan langkah, penari duduk bertinggung dengan kedua belah tangannya memegang sepasang anak dabus, satu di tangan kanan dan satu di tangan kiri dan bergerak ke hadapan tiga langkah dan tiga langkah ke belakang kemudian tunduk memberi hormat.

Selepas itu beliau berdiri dan memulakan tarian. Habis satu lagu penari ini akan berundur dan digantikan dengan dua penari dan ini diikuti pula oleh 4 pasang penari yang lain Penari-penari yang akan mencucuk lengannya, menghadap khalifah untuk dibasuh lengan mereka denga air penawar dan dijampi sert
a diiktikad dalam hati oleh khalifah, "tulang kamu besi, kulit kamu tembaga”.

Penari meneruskan tarian sambil mencucuk lengan dengan pangkal anak dabus yang tajam. Luka-luka akibat tikaman ini dibasuh denga air penawar dan dipicit keluar bisanya serta dijampi oleh khalifah untuk menyembuhkan luka, Jampi ini dipetik dari surah Al-'Lahab ayat satu yang berbunyi: "Tabbat ya da abi la ha biung wattab".


Selain dari mencucuk lengan dengan anak dabus,
terdapat juga penari-penari yang menghentakkan batu giling ke bahagian badan terutamanya bahagian paha. Satu persembahan dabus yang lengkap, mengambil masa lebih kurang 30 minit.Setelah selesai persembahan anak-anak dabus dibersihkan dan sekali lagi dijampi oleh khalifah.

Dabus tarian pahlawan negeri Perak



Disediakan oleh:
NASIBAH MOHD NOR
CA08016
C17

TaRiaN PiRinG


Tarian Piring dicipta oleh orang Minangkabau yang berasal dari Sumatera Barat. Tarian piring juga dikenali sebagai Tari Piring. Ia merupakan salah satu seni tarian yang masih diamalkan penduduk Negeri Sembilan keturunan Minangkabau.

Tarian Piring menyerupai gerakan para petani semasa bercucuk tanam, menuai dan sebagainya.Tarian ini juga melambangkan rasa gembira dan syukur dengan hasil tanaman mereka. Tarian ini merupakan tarian gerak cepat dengan para penari memegang piring di tapak tangan mereka, diiringi dengan lagu yang dimainkan oleh talempong dan saluang. Kadangkala, piring-piring itu akan dilontar ke udara atau pun dihempas ke tanah dan dipijak oleh penari-penari tersebut. Bagi menambah unsur-unsur estetika , magis dan kejutan dalam tarian ini, penari lelaki dan perempuan akan memijak piring-piring pecah tanpa rasa takut dan tidak pula luka. Penonton tentu akan berasa ngeri apabila kaca-kaca yang pecah dan tajam itu dipijak sambil menari.

saluang talempong

Tarian Piring di Malaysia

Di Malaysia , tarian piring dipersembahkan ketika majlis perkahwinan terutama bagi keluarga berada, bangsawan dan hartawan di sesebuah kampung. Tarian ini biasanya dilihat di kawasan Beranang,Lenggeng dan Semenyih oleh kumpulan tertentu. Ada yang dipersembahkan dengan pakaian lengkap dan tidak lengkap. Maksudnya, samada memakai pakaian tradisional atau tidak. Sedikit sahaja bayaran akan dikenakan jika menjemput kumpulan tarian ini mempersembahkan tarian piring. Kebiasaanya, 10 - 20 minit diperuntukkan untuk persembahan tarian ini.

Tarian piring dan silat dipersembahkan di hadapan mempelai di luar rumah. Majlis perkahwinan atau sesuatu apa-apa majlis akan lebih meriah jika diadakan tarian piring. Namun begitu, segelintir masyarakat tidak dapat menerima kehadiran kumpulan tarian kerana dianggap ada percampuran lelaki dan perempuan. Bagi mengatasi masalah itu, kumpulan tarian disertai hanya gadis-gadis sahaja.

Seseorang penari amat bergantung kepada piring-piring untuk mencantikkan persembahannya. Tanpa piring di tangan mereka, tarian akan menjadi hambar. Piring-piring yang diletakkan di tangan kanan dan kiri boleh mempengaruhi rentak dan gaya tarian seseorang. Oleh itu dapatlah dirumuskan bahawa perkataan Tari Piring adalah membawa maksud 'piring yang ditarikan' atau 'tarian yang menggunakan piring'.

ASAL USUL PENCIPTAAN TARI PIRING

Tari Piring dikatakan tercipta daripada ''wanita-wanita cantik yang berpakaian indah, serta berjalan dengan lemah lembut penuh kesopanan dan ketertiban ketika membawa piring berisi makanan yang lazat untuk dipersembahkan kepada dewa-dewa sebagai sajian. Wanita-wanita ini akan menari sambil berjalan, dan dalam masa yang sama menunjukan kecekapan mereka membawa piring yang berisi makanan tersebut. Kedatangan Islam telah membawa perubahan kepada kepercayaan dan konsep tarian ini. Tari Piring tidak lagi dipersembahkan kepada dewa-dewa, tetapi untuk majlis-majlis keramaian yang dihadiri bersama oleh raja-raja atau pembesar negeri.

Keindahan dan keunikan Tari Piring telah mendorong kepada perluasan persembahannya dikalangan rakyat jelata, iaitu dimajlis-majlis perkahwinan yang melibatkan persandingan. Dalam hal ini, persamaan konsep masih wujud, iaitu pasangan pengantin masih dianggap sebagai raja iaitu 'Raja Sehari' dan layak dipersembahkan Tari Piring di hadapannya ketika bersanding.


CARA MENARI

Terdapat berbagai cara atau versi untuk menari Tari Piring, bergantung kepada tempat atau kampung atau daerah di mana Tari Piring tersebut diamalkan. Namun tidak banyak perbezaan antara satu tempat dengan tempat yang lain, khususnya mengenai konsep, pendekatan dan gaya persembahan. Secara keseluruhannya, untuk memahami bagaimana sesebuah Tari Piring dipersembahkan, berikut adalah urutan atau susunan sesebuah persembahannya.

1. Persiapan awal.

Sudah menjadi kebiasaan bahawa sesebuah persembahan kesenian harus dimulakan dengan persediaan yang rapi. Sebelum sesebuah persembahan diadakan, selain latihan untuk melatih kecekapan, para penari Tari Piring juga seharusnya mempunyai latihan penafasan yang baik agar persembahan berjalan dengan lancar.

Menjelang hari atau masa persembahan, para penari Tari Piring mestilah memastikan agar piring-piring yang mereka akan gunakan berada dalam keadaan baik. Piring yang retak atau sumbing harus diketepikan atau digantikan dengan yang lain, agar tidak membahayakan samada kepada diri sendiri atau orang ramai yang menonton. Ketika ini juga penari telah memutuskan jumlah piring yang akan digunakan.

Setelah berakhir persembahan Silat Pulut di hadapan pasangan pengantin, piring-piring akan diatur dalam berbagai bentuk dan susunan di hadapan pasangan pengantin mengikut jumlah yang diperlukan oleh penari Tari Piring dan kesesuaian kawasan. Dalam masa yang sama, penari Tari Piring telah bersiap sedia dengan menyarungkan dua bentuk cincin khas, iaitu satu di jari tangan kanan dan satu dijari tangan kiri. Penari ini kemudian memegang piring atau ceper yang tidak retak atau sumbing.


2. Memulakan tarian.

Tari Piring akan bermula sebaik sahaja rebana dan gong dipukul oleh para pemusik. Penari akan memulakan Tari Piring dengan 'sembah pengantin' sebanyak tiga kali sebagai tanda hormat kepada pengantin tersebut iaitu; sembah pengantin tangan di hadapan sembah pengantin tangan di sebelah kiri sembah pengantin tangan di sebelah kanan.


gong rebana


3. Semasa menari

Selesai dengan tiga peringkat sembah pengantin, penari Tari Piring akan memulakan tariannya dengan mencapai piring yang di letakkan di hadapannya serta mengayun-ayunkan tangan ke kanan dan kiri mengikut rentak muzik yang dimainkan. Penari kemudian akan berdiri dan mula bertapak atau memijak satu persatu piring-piring yang telah disusun lebih awal tadi sambil menuju ke arah pasangan pengantin di hadapannya. Pada kebiasaannya, penari Tari Piring akan memastikan bahawa semua piring yang telah diatur tersebut dipijak. Setelah semua piring selesai dipijak, penari Tari Piring akan mengundurkan langkahnya dengan memijak semula piring yang telah disusun tadi. Penari tidak boleh membelakangkan pengantin.

Dalam masa yang sama kedua-dua tangan akan berterusan dihayun ke kanan dan ke kiri sambil menghasilkan bunyi 'ting ting ting ting .......' hasil ketukan jari-jari penari yang telah disarung cincin dangan bahagian bawah piring. Sesekali, kedua-dua tapak tangan yang diletakkan piring akan dipusing-pusingkan ke atas dan ke bawah disamping seolah-olah memusing-musingkannya di atas kepala

4. Mengakhiri persembahan

Sesebuah persembahan Tari Piring oleh seseorang penari akan hanya berakhir apabila semua piring telah dipijak dan penari menutup persembahannya dengan melakukan sembah penutup atau sembah pengantin sekali lagi. Sembah penutup juga diakhiri dengan tiga sembah pengantin dengan susunan berikut; sembah pengantin tangan sebelah kanan sembah pengantin tangan sebelah kiri sembah pengantin tangan sebelah hadapan.


TEMPOH MENARI

Tempoh atau jangkamasa menari oleh seorang penari Tari Piring adalah bergantung kepada kecekapan dan kemahiran penari itu sendiri. Kecekapan dan kemahiran menghayun piring yang diseimbangkan dengan ketukan cincin amat perlu. Penari Tari Piring yang tidak terlatih mungkin akan menyebabkan piring yang diletakkan di tapak tangan terlepas dan jatuh ke tanah. Biasanya insiden seperti ini amat memalukan penari tersebut.

Dalam masa yang sama kepantasan penari melangkahkan kaki untuk memijak piring yang telah disusun juga akan mempengaruhi tempoh sesebuah Tari Piring. Namun pada keseluruhannya, seseorang penari Tari Piring akan hanya menari dalam tempoh masa antara tiga hingga lima minit sahaja. Oleh itu, biasanya sesebuah persembahan Tari Piring di hadapan pengantin akan hanya mengambil masa tidak melebihi 15 minit, dengan jumlah penari antara tiga hingga tujuh orang. Perlu ditekankan bahawa sesebuah persembahan Tari Piring mesti disertai oleh penari dengan jumlah yang ganjil misal satu, tiga, lima, tujuh atau sembilan orang.


PAKAIAN

Pada kebiasaannya, pakaian yang berwarna-warni dan cantik adalah perkara wajib bagi sesebuah tarian. Tetapi bagi Tari Piring, memadai dengan berbaju Melayu dan bersamping saja. Warna baju juga adalah terserah kepada penari sendiri untuk menentukannya. Namun, warna-warna terang seperti merah dan kuning sering menjadi pilihan kepada penari Tari Piring kerana ia lebih mudah di lihat oleh penonton.


MUSIK

Alat musik yang digunakan untuk mengiringi Tari Piring, memadai dengan pukulan Rebana dan Gong sahaja. Pukulan Gong amat penting sekali kerana ia akan menjadi panduan kepada penari untuk menentukan langkah dan gerak Tari Piringnya. Pada kebiasaannya, kumpulan Rebana yang mengiringi dan mengarak pasangan pengantin diberi tanggungjawab untuk mengiringi persembahan Tari Piring. Namun, dalam keadaan tertentu Tari Piring boleh juga diiringi oleh alat musik lain seperti Talempong dan Gendang.


FALSAFAH

Tari Piring mempunyai peranan yang besar didalam adat istiadat perkahwinan masyarakat Minangkabau. Pada dasarnya, persembahan sesebuah Tari Piring di majlis-majlis perkahwinan adalah untuk tujuan hiburan semata-mata. Namun persembahan tersebut boleh berperanan lebih daripada itu. Persembahan Tari Piring didalam sesebuah majlis perkahwinnan boleh dirasai peranannya oleh empat pihak iaitu; kepada pasangan pengantin, tuan rumah, orang ramai dan kepada penari itu sendiri.


Pasangan pengantin adalah orang yang diraikan didalam majlis perkahwinan. Mereka digelar 'Raja Sehari'. Oleh itu, persembahan Tari Piring di hadapan mereka adalah pelengkap kepada hari bersejarah tersebut.Dalam masa yang sama pasangan pengantin akan merasai bahawa kehadiran mereka sebagai 'raja sehari' sedang dinanti-nantikan oleh orang ramai dengan simbolik 'selamat datang' melalui Tari Piring tersebut. Hal yang sama juga akan dirasai oleh kedua-dua ibu bapa serta keluarga pengantin. Mereka merasakan bahawa majlis persandingan tersebut belum tamat dan tidak lengkap jika tidak disertai dengan persembahan Tari Piring.

Dikalangan orang ramai yang menghadiri majlis perkahwinan itu pula, selain sebagai suatu hiburan, mereka boleh memberi semangat kepada para penari Tari Piring agar membuat persembahan yang lebih baik dan menyeronokkan. Malah, kadangkala orang ramai yang menonton akan turut serta menyertai persembahan tersebut, semata-mata untuk memeriahkan suasana atau untuk menunjukkan kebolehan mereka. Keadaan ini agak berbeza pula kepada para penari Tari Piring itu sendiri. Setengah daripada penari Tari Piring yang masih bujang, menunjukkan kehebatan mereka menari adalah untuk 'memikat' gadis-gadis pengiring daripada pihak yang bertandang atau gadis-gadis sekampung yang sedang menonton persembahan mereka.


Suatu perkara yang menarik bagi Tari Piring pentas ialah kebolehan dan kecakapan penarinya memijak-mijak kaca di atas pentas sebagai mengakhiri persembahan Tari Piring. Didalam persembahan ini kaca yang telah dipecah-pecahkan berukuran antara tiga hingga delapan sentimeter di longgokkan di atas pentas yang kemudiannya dipijak-pijak serta dikuis-kuis dengan kaki oleh para penari. Simbolik kepada acara ini ialah "para pembawa hidangan sedang melalui atau memijak kaca piring yang pecah semasa mereka membawa sajian lauk pauk untuk dewa-dewa" . Kaki penari tidak cedera.